Saturday, December 28, 2013

Artikel : Pilih rumah lelong

Bisnes | Harian Metro

Pilih rumah lelong

Kuala Lumpur: Rumah lelong boleh dianggap sebagai pilihan terbaik dalam memiliki kediaman sendiri memandangkan ia ditawarkan pada harga 20 hingga 40 peratus lebih murah berbanding harga semasa. Walaupun mungkin dianggap sebagai alternatif, namun ia amat berbaloi memandangkan harga rumah baru yang kian mencatatkan peningkatan daripada tahun ke tahun.
Perunding Hartanah dan Penasihat Lelong IMG Global Property Consultant Sdn Bhd Muhd Firdaus Zahari berkata, pasaran hartanah tempatan kini menyaksikan begitu banyak rumah lelong ditawarkan kerana ketidakupayaan pemilik rumah asal untuk membayarkan ansuran pembiayaan rumah bulanan. 
“Jika diperhatikan melalui iklan di akhbar saja, purata 50 hingga 100 rumah lelong baru dipaparkan dalam tempoh tertentu sekali gus membuktikan memang terdapat banyak pilihan rumah pada harga lebih murah berbanding rumah baru,” katanya pada Bisnes Metro, di sini, semalam. 

Rumah lelong didefinisikan sebagai hartanah bermasalah dengan bank apabila peminjam (tuan rumah) gagal membayar bayaran bulanan untuk suatu tempoh dipersetujui semasa menandatangani perjanjian pinjaman perumahan dengan pihak bank.
Foto
RUMAH lelong jadi pilihan dalam kalangan individu kurang berkemampuan. - Gambar hiasan

Terdapat dua jenis lelongan iaitu Loan Agreement cum Assignment (Laca) iaitu unit hartanah belum mempunyai hak milik/strata dan dilelong bank melalui pelelong seperti pejabat lelong, dewan dan hotel serta Non Laca iaitu unit hartanah yang mempunyai hak milik/strata dan dilelong melalui mahkamah serta pejabat tanah.

Rumah lelong menawarkan kelebihan kepada bakal pemiliknya kerana ia tidak memerlukan tempoh urusan jual beli yang lama berbanding rumah baru atau rumah subsale (rumah dibeli daripada pemilik lain) dan risiko kerosakan rendah disebabkan ia dikawal selia serta dikendalikan pihak bank. 

Beliau berkata, trend terkini pemilikan rumah kediaman menyaksikan rumah lelong dijadikan pilihan dalam kalangan individu kurang berkemampuan terutama di Lembah Klang untuk dijadikan kediaman utama. Kebanyakan warga Lembah Klang memilih rumah lelong sebagai hartanah masing-masing dan hanya segelintir menjadikan rumah lelong sebagai aset hartanah bagi disewakan kepada orang ramai.

Menurutnya, individu yang ingin membeli rumah lelong perlu membuat kajian terlebih dulu mengenai hartanah terbabit dengan meninjau sendiri keadaan rumah terbabit dan melakukan pemeriksaan terhadap tunggakan atau kos belum dibiayai pemilik asal seperti cukai pintu, utiliti, air dan elektrik. 

Individu juga perlu memiliki jumlah tunai mencukupi bagi memiliki rumah lelong memandangkan ia ditawarkan secara bidaan dengan kemungkinan lonjakan harga mengikut tawaran pembida lain di samping perlu mengambil kira faktor lain seperti potensi dan lokasi hartanah serta kos pembaikan yang terpaksa di tanggung jika mengalami banyak kerosakan. 


INFO

Persediaan awal

  • Salin maklumat mengenai hartanah lelong ingin dibeli.

  • Pastikan alamat serta tarikh lelongan hartanah diingini betul dan tepat.

  • Tinjau hartanah sebelum buat keputusan membeli.

  • Buat pertanyaan kepada pemaju, pemilik, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan carian hak milik.

Langkah seterusnya

  • Sediakan bank draf lima hingga 10 peratus daripada harga ditetapkan atas nama bank melelong sebagai deposit.

  • Lantik ejen hartanah atau hadir sendiri ke tempat lelongan seawal mungkin sebelum lelongan untuk pendaftaran.

  • Pastikan nombor lelongan hartanah sama dengan hartanah ingin dibida.

  • Rahsiakan semua maklumat mengenai harga dan hartanah yang dibida.

Di lokasi lelongan

  • Anda diberikan kad bidaan dan pelelong membaca maklumat asas mengenai hartanah sebelum bidaan dimulakan.

  • Anda hanya perlu menunjukkan nombor bidaan dan lelongan berhenti apabila tiada lagi tawaran daripada pembida lain.

  • Pelelong akan mengira sehingga tiga kali dan mengetuk tukul menandakan lelongan ditutup dan mengumumkan pembida berjaya.

  • Jika tidak berjaya, bank draft akan dipulangkan.

  • Anda perlu mencukupkan deposit dan menjelaskan bakinya daripada harga yang berjaya dibida selepas lelongan.

  • Pembeli yang berjaya perlu selesaikan baki harga melalui pinjaman atau tunai dalam tempoh 90 hingga 120 hari.

  • Anda perlu melantik peguam untuk membuat urusan pinda milik.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/2


p/s : Ingin Jual @ Sewa rumah...Hubungi Farhan - 019-3623578

p/s : Want to SELL or RENT property, call Farhan - 019-3623578

FARHAN
019.362 3578

Saya merupakan perunding hartanah berdaftar di RESCOM REALTY. Sekiranya anda bercadang untuk menjual rumah, hubungi saya untuk khidmat nasihat secara PERCUMA.


My Listing :
www.mudah.my/farhan
www.facebook.com/jom2lelong